-
Kepimpinan didefinasikan dengan cara yang berbeza-beza daripada pelbagai sudut. Kepimpinan merupakan proses mempengaruhi kegiatan kelompok yang diorganisasikan dalam usaha untuk menentukan tujuan dan pencapaian. Gribben (1972), seorang tokoh pengurusan menyatakan bahawa kepimpinan itu adalah sebagai proses mempengaruhi sesuatu kolompok dalam situasi dan masa tertentu untuk memberi pengalaman dan kepuasan sejajar dengan kepimpinan yang diamalkan. Pendapat ini dipersetujui oleh Hersey dan Blanchard (1982) yang menyatakan kepimpinan ialah proses mempengaruhi kegiatan individu atau kelompok dalam usaha mencapai tujuan dalam situasi tertentu.
-
Kepimpinan menekankan kepada tingkah laku pemimpin yang mempengaruhi orang bawahan bertindak mencapai objektif tertentu. Kepimpinan adalah unsur penting dalam pengurusan yang menjadi penggerak bagi sesebuah organisasi. Kepimpinan dalam jabatan hendaklah memainkan peranan aktif dan mendorong kakitangan bawahannya memberi kerjasama dalam memberi khidmat mereka terhadap pencapaian strategi dan perancangan jabatan yang ditetapkan.
-
Sebagai rumusannya,kepimpinan adalah satu proses yang melibatkan orang lain iaitu orang bawahan, penggunaan kuasa di kalangan pemimpin, mempengaruhi dan mengarah tindak tanduk orang bawahan dalam pelbagai cara bagi mencapai matlamat organisasi. Proses ini melibatkan hubungan atau komunikasi dua hala antara orang yang memimpin dengan orang yang dipimpin. Justeru,dapat ditegaskan bahawa tugas pemimpin adalah mempengaruhi orang bawahannya supaya mengikuti tanggungjawap yang hendak dilaksanakan ke arah satu matlamat yang dirancang.